Profail Calon



Tanggal 22 Mei 1965 menjadi saksi kelahiran seorang pemimpin dari Pulau Pinang. Merupakan anak kelima dari tujuh adik beradik, Hj Muhammad Bakhtiar Wan Chik dibesarkan di tanah kelahirannya oleh ibu bapanya yang merupakan seorang surirumah dan pegawai polis.

Telah berkahwin selama lebih 20 tahun, beliau dianugerahkan seorang isteri yang penyayang dan dikurniakan 6 cahaya mata sebagai penyeri hidup. Haji Bakhtiar bukanlah nama baru dalam agenda kebajikan rakyat di Pulau Pinang

PENDIDIKAN
Memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Jelutong, beliau kemudian menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Jelutong selama 3 tahun. Menamatkan persekolahan di Penang Free School (1981-1982) dengan kelulusan Gred 1 akhirnya beliau bergelar graduan pada usia 22 tahun dari Universiti Arizona Tucson, Amerika Syarikat (1987) dalam bidang Sarjana Muda Sains Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran)

KERJAYA
Berpengalaman lebih dari 20 tahun dalam bidang Pengurusan dengan bermula sebagai Pegawai Sumber Manusia di Malaysia Smelting Corp. Butterwoth (1989-1990) dan di Shinca Sdn Bhd (dimiliki Koperasi Intel) Bayan Lepas (1990-1991). Dan akhirnya bertugas di Linear Semiconductor Bayan Lepas (1994-2013) sebagai Ketua Jabatan Sumber Manusia

KEBAJIKAN DAN KEMASYARAKATAN
Kerjaya beliau bukan sekadar di situ sahaja. Ini kerana pada tahun 1997 beliau mula berjinak-jinak dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Beliau bermula sebagai Pengerusi Kumpulan Pengurus Sumber Manusia Pulau Pinang pada 1997. Pada tahun 2007 pula, beliau terlibat secara langsung dengan Free Trade Zones Penang Companies Association (FREPENCA). 

Seterusnya pada April 2008 beliau menjadi Ahli Majlis MPPP di One Stop Center yang melibatkan beliau dalam perancangan dan pembangunan di Pulau Pinang. Antara idea beliau semasa menjadi Ahli Majlis 2008 adalah mempromosikan aktiviti berbasikal serta menyediakan kemudahan laluan berbasikal di Pulau Pinang.
Ciri-ciri pemimpin berjiwa rakyat mula terserlah dalam diri saudara Muhammad Bakhtiar apabila beliau mula terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan. Beliau memainkan peranan yang sangat penting dalam isu kebajikan rakyat Pulau Pinang dan Kedah khususnya di sekitar Balik Pulau, Sik, Baling, Padang Terap, dan Kuala Kedah.

Banyak usaha-usaha kebajikan yang diasaskan sendiri oleh Haji Bakhtiar. Antaranya, beliau sebagai pengasas kepada NGO Rezeki Muslim Foundation (RMF) yang ditubuhkan sekitar tahun 1999 untuk menyalurkan bantuan bagi fakir miskin dan beliau juga pengasas Persatuan BaitunNur yang memberikan motivasi dan kelas tuisyen percuma kepada para pelajar.

Usaha gigih beliau dalam aktiviti kemasyarakatan telah meyakinkan beliau untuk dipilih sebagai Ahli Jawatan Kuasa Kebajikan NGO Jamaah Islah Malaysia (JIM). Dalam organisasi inilah beliau mengasaskan Program Ziarah Hospital yang dikendalikan oleh para sukarelawan dari NGO JIM/IKRAM serta warga kerja dari Persatuan Staf Hospital Pulau Pinang bermula tahun 2006 hinggalah ke hari ini. Pelbagai usaha telah dijalankan melalui program ini dengan tujuan menceriakan pesakit. Salah satu daripadanya adalah dengan memberi hadiah pada hari-hari perayaan. 

Atas inisiatif beliau dan rakan-rakan juga, pengagihan nasi percuma ketika berbuka di bulan Ramadhan untuk kaum Muslimin di Balik Pulau juga dianjurkan sejak tahun 2012. 

ANTARABANGSA
Selain isu nasional, beliau juga aktif dengan aktiviti kebajikan antarabangsa. Antara misi yang beliau pernah sertai adalah:

- Misi bantuan Tsunami Acheh, Indonesia (2004) melalui NGO MERCY Malaysia
- Mengetuai delegasi bantuan mangsa gempabumi di Padang, Indonesia (2009)
- Terlibat dengan NGO Antarabangsa Aksi Cekap Tanggap (ACT) yang berpengkalan di Jakarta, Indonesia bagi mengumpul dana dan membangunkan semula perkampungan yang dilanda gempa bumi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...